Ahad, 27 Januari 2013


KIAS CINTA

PROLOG

Zafrel bergegas menyalin pakaian kerjanya kepada pakaian yang lebih santai untuk pulang ke rumah. Jam tangannya sudah menunjukkan pukul 11.45 malam. Dia harus segera pulang, beristirehat secukupnya untuk bangun awal pagi esok. Biarpun kepenatan sering menghambat dirinya tetapi itulah caranya dia menyara hidupnya bagi meringankan beban keluarga makciknya. Memang Mak Besah tidak pernah berkira dalam soal persekolahannya dan adiknya tetapi dia sedia maklum pendapatan Mak Besah sebagai tukang jahit tidaklah seberapa sedangkan dia terpaksa menanggung dia dua beradik dan seorang anak bujangnya yang masih belum berkahwin.
" Zaf! esok petang kau datang awal sikit tau. Akim dan Shima esok bercuti. Tak cukup kakitangan kita" pesan Hafizul selaku penyelia di stesen minyak itu.
" Baik, bang...  saya pergi dulu" pamit Zafrel mencapai beg galasnya dan keluar meninggalkan Dshoppe stesen minyak itu.  Tinggallah Hafizul bersama dua orang pekerja lain meneruskan tugas di stesen minyak yang beroperasi 24 jam itu.

Zafrel memandang langit malam yang kelam pekat. Tiada sebutir bintangpun menghiasi dada langit yang makin suram.  Kedingan mula terasa apabila bayu lembut menampar-menampar tubuhnya yang dibaluti sehelai jaket yang sudah lusuh. Gerak langkah diteruskan menuju ke rumah yang terletak hanya 5 kilometer dari stesen minyak tadi.
Telefon bimbitnya tiba-tiba berdering. Tertera nama insan yang amat disayangi.
" Hello...abang Zaf lambat lagi ke sampai rumah?"
" Sekejap lagi. Abang dalam perjalanan ni.. Ira pergilah tidur dulu. Tak payah tunggu abang." jawab Zafrel ringkas.
" Ira ada simpan makanan untuk abang kat atas meja. Nanti abang makan tau. Okey... Assalamualaikum, bang.."
" Waalaikumsalam"

Telefon dimasukkan semula ke dalam poket seluar jeansnya. Dia hanya bersiul-siul riang sambil menyegarkan tubuhnya yang makin lesu dek kepenatan. Mujur dia sudah menyiapkan kerja rumah Matematik Tambahan yang dibekalkan oleh Cikgu Lim sebelum memulakan tugasnya pukul 4.00 petang tadi.

Siulannya mata apabila terpandangkan sebuah kereta yang berhenti di bahu jalan dengan memasang lampu kecemasan. Seorang lelaki sedang mengeluarkan beberapa peralatan daripada but kereta untuk membaiki keretanya barangkali.  Kegelapan malam memang menyukarkannya untuk berbuat demikian. Hanya lampu suluh yang membantu menerangi persekitaran yang kelam itu.
" Assalamualaikum, bang..." sapa Zafrel sambil mendekati kereta mewah milik pemuda itu. Kereta Toyota Camry berwarna hitam itu memang menjadi idamannya untuk dimiliki suatu hari nanti.  Memandang sahaja kereta itu serta merta minda membuat telahan sendiri. Pemiliknya bukan calang-calang. Hartawan ataupun paling kurang usahawan ternama.
" Ada apa masalah bang?"
Pemuda berbaju kemeja biru itu menoleh sekilas.
" Tayar kereta ini pancit..." balas pemuda itu sambil mengeluarkan tayar spare untuk menggantikan tayar yang sudah bocor daripada but keretanya.
" Tak apa bang, biar saya tolong." ringan sahaja Zafrel mengambil peralatan untuk menukar tayar daripada tangan pemuda itu.
" Tak mengapakah?"
Zafrel hanya mengangguk. "Abang suluh kat sini..."pintanya.

Selepas 15 minit kerja menggantikan tayar kereta pemuda itu selesai. Zafrel menarik nafas lega kerana dapat membantu orang yang dalam kesusahan.
" Minta maaflah sudah menyusahkan adik" pemuda itu berasa serba salah.
" Tak ada apa-apalah bang.  Pertolongan kecil sahaja..." Zafrel mencapai kembali beg galasnya untuk beredar.
" Nanti sekejap..." pemuda itu mengeluarkan dompetnya dan menghulurkan not seratus kepada Zafrel.
" Ermm... saya ikhlas tolong abang.." Zafrel menolak. Tidak wajar rasanya menerima pemberiaan orang atas pertolongan yang dihulurkan secara suka rela.
" Ambillah... abang juga ikhlas nak berterima kasih pada adik..."
" Panggil saya Zafrel saja bang.... "
"Ambillah Zafrel... " wang tersebut cuba dihulurkan kepada Zafrel.
" Tak mengapa bang. Saya tak harapkan apa-apa balasan pun." sekali lagi Zafrel menolak wang pemberian pemuda tersebut.
" Ermm... terima kasih banyak, Zafrel. Nama abang Ijmal...ini kad abang. Mana tau lain hari Zafrel perlukan apa-apa bantuan, just call abang okey?" Zafrel mengambil kad tersebut perlahan-lahan. Nama yang tertera dibaca sepintas lalu.
" Saya minta diri dulu bang..esok nak sekolah.." pamit Zafrel yang khuatir kelewatan pulang ke rumah.
" Masih bersekolah?..abang ingatkan dah bekerja..."
" Saya masih dalam Form Five. Kerja sambilan aja kat stesen minyak tu" tuding Zafrel ke sstesen minyak yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari situ.
" Nak abang hantar balik ke rumah?"
" Tak usah bang. rumah saya dekat depan tu je..."

Ijmal menghulurkan salam kepada Zafrel berterima kasih.
" Okey, tapi abang tetap nak balas budi Zafrel lain kali. So, macam mana abang nak jumpa Zafrel lagi?"
" Abang boleh cari saya kat stesen minyak tu.."

Ijmal mengangguk sambil memerhatikan anak muda itu meneruskan perjalanan sambil meredah kegelapan malam. Bukan senang menemui anak remaja yang berhati tulus seperti Zafrel. Dia rasa betul-betul terhutang budi. Tekadnya, budi remaja tadi pasti akan dibalasnya suatu hari nanti...